Thursday, May 3, 2012

2 Cerita MAS dan AirAsia

Tony, Kamarudin letak jawatan dalam MAS
Oleh Ahmad Farizal HajatSumber Berita : Berita Harian Online http://www.bharian.com.my
2012/05/03

pix_gal0
KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun, meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Penerbangan Malaysia (MAS), berkuat kuasa serta-merta berikutan pengumuman rasmi pembatalan pertukaran saham dua syarikat itu oleh Khazanah Nasional Bhd, semalam.

Serentak itu, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MAS, Datuk Mohamed Azman Yahya mengumumkan pengundurannya sebagai pengarah bukan eksekutif dalam Lembaga Pengarah AirAsia.
Tony, Kamarudin dan Mohamed Azman, masing-masing dilantik ke jawatan berkenaan berikutan perjanjian pertukaran saham antara pemegang saham utama kedua-dua syarikat penerbangan pada Ogos tahun lalu.
Sementara itu, Khazanah menyatakan susulan pembatalan pertukaran saham itu, ia kini memperoleh semula kepentingannya dalam MAS yang diberikan kepada Tune Air Sdn Bhd sebelum ini, manakala syarikat induk AirAsia itu pula memperoleh semula pemilikan sahamnya dalam syarikat penerbangan tambang murah yang diberikan kepada Khazanah.

Semua pertukaran itu dibuat mengikut nisbah dan harga sama yang diumumkan pada Ogos tahun lalu, iaitu RM1.60 bagi harga sesaham MAS dan RM3.95 sesaham bagi AirAsia. Namun, urus niaga pertukaran itu tidak membabitkan sebarang pertukaran wang tunai.

Mengulas mengenainya, Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata berdasarkan penilaian selepas lapan bulan perjanjian pertukaran saham itu dimeterai, pihaknya mendapati ia mencetuskan gangguan terhadap usaha kumpulan pengurusan bagi memulihkan MAS, selain gagal memenangi sokongan pihak berkepentingan untuk meneruskannya.

Bagaimanapun, Azman berkata, Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif (CCF) yang dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini bukan penyumbang kepada kerugian MAS baru-baru ini kerana ia dimeterai selepas MAS mengumumkan prestasi kewangannya.
“Begitu juga, kerajaan tidak pernah mengawal MAS walaupun mempunyai pegangan 49 peratus saham serta ‘golden share’ dalam MAS,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Khazanah sebagai pemegang saham terbesar dalam MAS akan terus menumpukan usaha menyokong langkah memulih dan meningkatkan kembali prestasi kewangan dan operasi syarikat penerbangan nasional itu.

Beliau juga berkata, semua pihak, termasuk lembaga pengarah, pengurusan, kakitangan, kesatuan dan pihak berkepentingan lain dalam MAS perlu merapatkan semula barisan, meningkatkan produktiviti dan memulihkan syarikat penerbangan itu.

Kamarudin pula berkata, sejak CCF dilancarkan, ada kemajuan dalam memperkukuh usaha sama antara MAS dan AirAsia.

“Walaupun pertukaran saham dibatalkan, kami di Tune Air akan terus bekerjasama dengan MAS dan melakukan apa yang terdaya sebagai pemegang saham utama AirAsia untuk menyokong usaha ini (pemulihan MAS),” katanya yang juga Pengarah Tune Air.

Dalam pada itu, memandangkan Khazanah memenuhi kriteria di bawah perenggan 21.1 (d) Nota Amalan 9 Kod Pengambilalihan dan Penggabungan 2010 yang memperlihatkan ia menguasai 69.5 peratus pegangan dalam MAS, ia memohon Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengecualikan daripada obligasi untuk melaksanakan tawaran am mandatori bagi baki saham yang tidak dimilikinya dalam MAS.

Sementara itu, dalam satu pengumuman berasingan kepada Bursa Malaysia, MAS dan AirAsia bersetuju memeterai perjanjian tambahan kepada CCF dimeterai kedua-dua syarikat terbabit. Antara lain, perjanjian tambahan itu menyaksikan MAS, AirAsia dan Airasia X Sdn Bhd menubuhkan sebuah syarikat usaha sama bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan komponen, perkhidmatan sokongan dan pembaikan pesawat.

Komen : MAS sepatutnya kena ada wake up call...Ape yang TOP management MAS buat kat dalam tu? Asyik rugi je tak abis-abis...Harap-harap adalah AirAsia buat promo RM0 fare balik lepas nie...

2 comments:

i'm shin... i'm inesen said...

shin tetunggu gak promosi "0" ticket.. hmmm bila agaknyer yer

luddin said...

x tau lagi bila diaorg nak buat...

 

Luddin - Life, Travel, Food, Music, etc. Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates